Dia baru sahaja tamat belajar dan kini telah bergelar seorang doktor. Masih bujang dan tercari-cari seorang isteri sebagai teman hidup.
Pada suatu hari, ketika sedang minum di sebuah kedai kopi berdekatan dengan sebuah sekolah tahfiz di Lembah Beringin bersama seorang rakannya yang hafaz Quran, dia terpandang seorang gadis yang sungguh cantik.
Dengan wajahnya yang tenang dan penampilan solehah, gadis itu sungguh menawan.
Si doktor dan si gadis bertentangan mata, tetapi dengan segera kedua-duanya mengalihkan pandangan mereka.
"Astaghfirullah," bisik doktor itu perlahan. Dia sedar itu panahan syaitan. Si gadis sedang minum-minum bersama dua orang rakannya.
Subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah ini! Secara tiba-tiba si doktor menjadi gugup, berdebar-debar dan serba tidak kena. Ingin sahaja dia menyunting gadis ini sebagai isterinya.
Doktor tersebut berbisik kepada rakannya yang hafaz Quran itu, "Kau kenal ke gadis itu?"
"Kenal. Dia sungguh berbudi bahasa. Dan masih belum berpunya lagi," jawab rakannya sambil tersenyum memahami. Aduh, bertambah guguplah doktor muda ini!
Tiba-tiba, datang pelayan meminta order, dan dia secara spontan berkata,
"Berikan saya kopi masin!"
Semua orang memandang dan melihat aneh kepadanya, termasuklah rakannya, pelayan dan gadis tersebut. Mukanya mendadak menjadi merah, tetapi dia tetap tidak mengubah pesanannya, dan setelah kopinya sampai, dia terus meminumnya.
Kehairanan, rakannya bertanya "Mengapa kopimu mesti masin, sahabatku?"
"Saat aku masih kecil, aku tinggal di tepi laut. Aku sangat suka bermain-main di laut, di situlah tempatnya aku dapat rasakan air laut... masin dan pahit. Sama seperti rasa kopi ini," jawab lelaki ini.
Tanpa disedari, gadis cantik yang duduk di meja bersebelahan mereka mendengar kata-kata si doktor tersebut. Gadis ini terharu. Itu adalah hal yang sungguh menyentuh hati. Perasaan yang begitu dalam dari seorang lelaki yang mengungkap kerinduan akan kampung halamannya.
Dia pasti lelaki itu adalah seorang yang menyintai dan mengambil berat akan rumah dan keluarganya. Dia pasti mempunyai rasa tanggungjawab akan tempat tinggal dan orang tuanya. Jika dia seorang abang, pastinya dia seorang yang sangat menyayangi adik-adiknya. Bertuahlah siapa yang menjadi isterinya.
Setelah peristiwa tersebur, si doktor ini meminta rakannya merisik gadis tersebut. Pucuk dicita, ulam mendatang. Setelah mengetahui rombongan merisik adalah mewakili lelaki yang ditemuinya di kedai kopi tempohari, si gadis yang pada ketika itu hampir tamat pengajian di sekolah tahfiz, menerima si doktor ini sebagai teman hidupnya dengan hati terbuka.
Seperti kisah cinta yang indah, Allah mengurniakan ketenangan di dalam rumah tangga mereka. Mereka hidup bahagia, saling menyanyangi antara satu sama lain, walaupun tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini. Cinta yang berputik setelah perkahwinan, terus kembang mekar seiring dengan ketaatan mereka kepada Yang Maha Pencipta. Dan setiap kali si isteri membuatkan secawan kopi buat suaminya, dia tidak lupa membubuh sedikit garam di dalamnya, kerana dia tahu, itulah kesukaan suaminya.
Setelah 40 tahun hidup bersama, si suami meninggal dunia. Dia meningalkan sepucuk surat buat isterinya.
"Sayangku, sepanjang tempoh kehidupan kita bersama, abang telah sentiasa jujur terhadapmu, tetapi maafkan abang untuk satu perkara. Maafkan kebohongan yang telah abang buat sepanjang hidup abang. Inilah satu-satunya kebohongan abang kepadamu - tentang kopi masin. Kamu ingatkah di saat kita pertama kali bertemu? Pada ketika abang sedang minum kopi dengan Ustaz Syakir, di maahad? Abang sangat gugup pada ketika itu. Sebenarnya abang inginkan kopi manis. Tetapi abang telah tersebut kopi masin. Waktu itu abang ingin batalkannya, tetapi abang terlalu gugup di hadapanmu ketika itu, maka abang biarkan sahaja. Abang tidak pernah menyangka itu akan menjadi awal perkenalan kita. Abang telah mencuba untuk mengatakan hal yang sebenarnya kepadamu..abang telah mencuba beberapa kali sepanjang hidup abang...tetapi abang tak sanggup melukakan hatimu..
Sekarang saat kamu membaca surat ini, abang sudah tiada. Tidak ada lagi yang perlu abang bimbangkan, maka abang akan menyatakan ini kepadamu: Abang tidak menyukai kopi masin. Tapi sejak mengenalimu, abang selalu minum kopi masin yang kamu buatkan sepanjang hidup abang. Dapat berada di sampingmu adalah kebahagiaan terbesar dalam hidup abang. Jika abang punya kesempatan untuk menjalani kehidupan sekali lagi, abang akan tetap berusaha mengenalimu dan menjadikanmu sebagai isteri abang walaupun abang harus minum kopi masin sekali lagi."
Sambil membaca, air matanya membasahi surat itu.
Suatu hari, seseorang telah bertanya kepadanya, "Bagaimana rasa kopi yang masin?"
Dia dengan pastinya menjawab, "Rasanya manis sekali."
Begitulah kisah bahtera cinta yang antara dua insan, dalam pelayaran menuju cinta Tuhan.
0 BuDaK BaiK:
Post a Comment